RSS

RENTAK

Saat ribut taufan menyerang
ada rumah yang rosak
ada pokok yang patah
namun ketika ia sampai ke lautan
sedikit pun tiada rosak.
Tatkala puting beliung berpusing
air turut berputar
isi lautan mungkin kepeningan
tidak kepada air
terus sahaja ia berputar
menari ikut rentak angin.
Air laut tidak pernah sakit
isi perutnya yang rasa.

BERDURILAH

 Saat landak diserang musuh
duri itulah yang menyelamat
walaupun duri yang hodoh.
Begitu juga diri kita
Selamatkan diri daripada suasana
antara mengeluarkan duri
atau melarikan diri.
Jika melarikan diri, musuh tetap mengejar
kita akan penat. 
Sampai masanya kitalah mangsa.
Jika mengeluarkan duri
pemangsa akan disakiti.
Saat itu jangan terlalu lembut hati
membantu pemangsa bukan jalannya
keluarkan duri dan larikan diri.