RSS

 Mak Pa pergi rumah Dekna jaga pantang. Aku rasa berat hati nak lepas. Kecil hati pun ada. Teringat dulu mak pa sampai hati tinggalkan aku yang baru bersalin dan meninggal anak pertamaku. Mak bagi alasan kereta nak habis roadtax dan nak urus majlis kahwin Dekna yang akan berlangsung sebulan lagi. Masa kejadian sedikit pun aku tak terasa sebab masih sedih anak pergi. Tapi setelah 10 tahun baru aku sedar betapa mak selalu tinggalkan aku untuk Dekna. Aku kecil hati sangat Ya Allah, terlalu sakit rasa itu sehingga menghiris sembilu. 

    Adakah aku cemburu iri dan dengki dengan Dekna. Itulah sikap yang paling aku benci, tapi sekarang ia hinggap di hatiku. Aku usaha perbanyak zikir dan doa. Namun kadang kadang aku akan termenung mengenang kisah lalu. Bantu aku ya Allah untuk menjadi hamba yang baik. Aku ingin sembuh.

Aku mengeluh
Ya Allah aku penat memahami diri sendiri
Aku menangis kenapa aku begini
Namun aku diam
terus berdoa, hanya padaMu aku berserah
dalam kedaan sesak dan ketat
air mata terus mengalir
persoalanku tiada henti.

Tiba-tiba telefonku berdering tanda mesej masuk.
Puan, saya nak booking homestay enam malam.
Aku seka air mataku
Allahuakhbar
Nikmat Allah yang manakah hendak aku dustakan.

Allah tidak memberiku anak yang hebat sejak kecil
aku bersedih
aku tidak mampu mendidik anakku 
aku penat dan merintih.
Allah jawab dengan halus.
"Rezekimu sudah Aku tentukan, bukan anak tapi bisnes yang masih berjalan. Bersyukurlah, Aku masih bersamamu. Tidak Aku uji hambaku melainkan untuk menaikkan darjatnya"
Ya Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu
Aku hambaMu yang takut membuat keputusan
bantunilah aku yang meraba dalam kegelapan
rahmatilah dan berkatilah setiap usaha yang kulakukan
jadikan setiap usahaku dapat mendekatkanku dengan Mu

Ya Allahu Ya Barik
aku serahkan segala urusanku kepadaMu
aku takut meminta, risau disebalik permintaanku adalah bala
aku memohon hanya padaMu Ya Allah
tunjukkan aku jalan yang Kau redhai
jalan yang berkat
dan jalan yang mudah menuju ke syurga.

Ya Allahu Ya Ghafur
aku binggung dengan diriku sendiri
aku marah dengan hatiku sendiri
aku kecewa dengan sikapku sendiri
aku sedih dengan keadaan diriku
Mohon Ya Allah
jangan pernah kecewa denganku
bantu aku untuk bangkit
dari kepompong jiwa yang malap
bantu aku Ya Allah menuju cahaya ilahi
terangkan hatiku agar mudah menerima pengajaran
kuatkan tubuhkan ya Allah agar dapat terus beribadah
gagahkan langkahku ya Allah untuk terus menuju ke jalanMu
Bukakan jalan untukku ya allah
bukakan jalan untukku ya Allah
aku masih hambaMu yang lemah.


 Harini aku cuti sebab stress katanya. Tapi macam ok je. 

Aku selalu terfikir nak pencen duduk rumah. Tunggu anak balik. Siapkan anak pergi sekolah. Tapi semuanya macam mimpi. Ini menyedarkan aku bahawa aku adalah hamba yang lemah. Untuk buat keputusan sendiri pun aku tak mampu.

Jika jadi suri rumah, aku perlu selesaikan loan. Untuk selesaikan loan, rumah kena jual, kereta dan tanah kena jual. Aku lemah, aku hamba Allah. Jika Allah tidak membantuku, siapalah aku.

Aku dah sampai tahap tak boleh hadap kerja. Padahal kerja bukan teruk pun. Mental aku sabotaj. Setiap hari mentalku serang diriku sendiri, sehingga aku jatuh dan kalah.

Wahai mental, kau juga makhluk Allah. Saat kau serang aku, hakikatnya kau juga akan rosak. Kau sepatutnya bekerjasama dengan aku, kita kawan dan hadapi semua rintangan bersama. Bukan saling mendown kan sendiri.

Manusia tanpa makanan boleh tahan beberapa minggu

Manusia tanpa air boleh tahan beberapa hari

Manusia tanpa udara boleh tahan beberapa minit. 

Fabi aiyyi ala irabbikuma tukazziban

Nikmat Tuhan mu yang manakah yang engkau dustakan.

Manusia suka ambil kesempatan 
Manusia suka mengadu domba
Manusia adalah syaitan 
Dan suka menyusahkan orang.
Manusia juga overthinking 
Selagi tak selesai selagi itulah berperang
Jalan penyelesaian itu sangat mudah
Keluarkan kata katamu
Meskipun dibidas
Kamu bidaslah balik
Tanpa kata, mereka terus menghentam
Katakanlah keadaanmu 
Tatkala tidak mampu, katakan tidak
Orang yang diam selalunya difikir mampu.


RENTAK

Saat ribut taufan menyerang
ada rumah yang rosak
ada pokok yang patah
namun ketika ia sampai ke lautan
sedikit pun tiada rosak.
Tatkala puting beliung berpusing
air turut berputar
isi lautan mungkin kepeningan
tidak kepada air
terus sahaja ia berputar
menari ikut rentak angin.
Air laut tidak pernah sakit
isi perutnya yang rasa.

BERDURILAH

 Saat landak diserang musuh
duri itulah yang menyelamat
walaupun duri yang hodoh.
Begitu juga diri kita
Selamatkan diri daripada suasana
antara mengeluarkan duri
atau melarikan diri.
Jika melarikan diri, musuh tetap mengejar
kita akan penat. 
Sampai masanya kitalah mangsa.
Jika mengeluarkan duri
pemangsa akan disakiti.
Saat itu jangan terlalu lembut hati
membantu pemangsa bukan jalannya
keluarkan duri dan larikan diri.
Jika hidup mudah terasa
mungkin hati banyak dosa.

Jika hidup suka menunjuk
hakikatnya dirinya kosong tiada apa.
Dia menunjuk sesuatu untuk menutup sesuatu yang dia tiada.

Jika berhadapan dengan toksik jangan beri sebarang respon
sebaiknya cepat tarik diri.

Hidup adalah rahsia yang perlu dibukukan 
Rahsia sulit
Jangan sesekali sebarkan
Atau diri kecundang
Atau toksik membunuh.
Ketenangan itu adalah sunyi
Sunyi daripada hiruk pikuk manusia
Sunyi daripada cerita
Sunyi daripada bercerita.
Ceritakan rahsia mu dalam penulisan
Kerana ia lebih akrab selamat
Tertutup itu mahal
Sunyi bercerita itu maruah tertinggi.
Kisah anakmu
Hanya untuk kamu
Kisah anak mereka sudah tertulis
Kamu usahakan anakmu
Mereka usahakan anak mereka
Senjata kamu adalah doa 
Doakan anakmu
Mereka memerlukannya. 
Ibu, 
Doakan anakmu
Bangkitlah di malam hari
Menangislah
Memintalah 
Dia maha mengatur
Bersihkan diri daripada dosa
Agar mudah Dia terima
Berusahalah wahai ibu 
Masih belum terlambat.
 Seekor semut 🐜 mengeluh
Mengapa dirinya kecil
Banyak perkara dia terlepas
Banyak benda tidak dapat dilakukan 
Keupayaannya terbatas
Namun dia lupa 
Dalam dia mengagumi yang besar
Dia juga dikagumi
Dialah haiwan kecil yang rajin
Patuh kepada ketua
Banyak kejayaan dikecapi
Mengumpul makanan untuk musim kemarau
Satu puak berjaya hidup
Ada sahabat yang ramai
Tidak pernah sendirian
Dialah seharusnya dicemburui.
 Tolaklah satu persatu
Dunia yang hadir minta diganti
Tenanglah hati
Mereka masih belum melepaskan diri
Mengharap kita melepaskan mereka
Dari belenggu.


Kita harus sedar
Manusia hanya mahu
Melepaskan tengkuk masing-masing 
Jangan sekali kita terjebak
Sekali terjebak
Kita pun sukar melepaskan diri
Malah satu per satu
Momen bersama keluarga
Akan hilang
Seiring berjalannya masa.


Kita harus bijak
Mengukur kemampuan 
Menilai kepentingan diri 
Ada yang tidak perlukan kita
Ada pula yang sangat memerlukan kita
Merekalah anak anak dan keluarga.


Apabila disebut pengorbanan 
Pasti ada yang perlu dikorbankan
Antara minat dan tanggungjawab 
Dahulukan tanggungjawab 
Supaya tiada yang tertinggal
Supaya 
Tidak menjadi seperti
Yang dikejar tak dapat
Yang digendong keciciran 
Kejayaan sebenar adalah kesihatan 
Jagalah diri, sayangi masa depan
Santai hidup dan jaga diri
Biar bentuk tegap berdiri
Organ dalam tetap berseri
Langkah kaki ringan diatur
Banyak kerja dilakukan boleh
Tanpa sikit pun merungut
Kurang dosa, pahala terjaga.
Badan sihat, pahala berkekalan.
Hati terasa sunyi
Dalam keramaian tersenyum 
Bila berduaan bersimpuh
Sepi 
Bunyi putaran kipas
Kicauan burung
Dan kereta lalu lalang

Aku termenung di dalam kelas yang kosong.

 Menjadi guru biasa atau guru luar biasa. 
Itu adalah pilihan. 
Kesakitan, kelelahan yang dihadapi,
adalah tanggungjawab sendiri.

Antara ketenangan dan kesesakan
dambakanlah ketenangan
supaya masa lebih terluang untuk diri dan keluarga
untuk ibadah dan iktikaf
Lebih jelas matlamat hidup
bukan sekadar hidup sesaat.

Jika memilih kesesakan
susunlah masamu dengan hemah
pastikan tanggungjaab diutamakan
kemudian nikmatilah setiap kejayaan
dirimu memilih untuk jadi hebat
berkhidmat lebih luas
namun kekallah di jalan yang lurus
agar tidak tergoda dengan persimpangan.

Gaya hidup yang sesak
atau gaya hidup yang bosan
manakah pilihanmu?
Tepuk dada tanyalah selera
sejauh mana kemampuan diri
jangan sesekali buat pilihan
mengikut rentak nafsu
seronok sesaat 
menanggungnya lama.

 Dalam perhubungan perlu ada tolak ansur. Bimbingan dan petunjuk Allah sangat diperlukan. Ketika suami mengatakan hasrat untuk berpindah ke Gerik, saya bersetuju. Namun setlah dikira kira kerugian berpindah itu besar memandangkan homestay di tapah masih perlu diruskan dan perlu pula mencari kediaman baru atau menumpang di rumah mertua.

Dalam menyusun kata pasti ada salah bicara. Lidah tidak bertulang sangat mudah merosakkan suasana harmoni. Saya mengimbau kembali situasi saya diabaikan ketika berjauhan dengan suami, ketika itu saya dimasukkan wad. Suami tiada di sisi. Dengan kandungan mencecah 7 bulan. Walaupun kisah ini sudah berlalu 6 tahun yang lalu, namun kekecewaan itu masih segar dalam sanubari.

Saya tidak bersedia diabaikan suami sekali lagi. Namun suami mahu suasana kerja baharu kerana sudah tidak tahan dengan tekanan kerja di tempat kini.

Soalan saya, adakah suami saya tidak bahagia bersama saya kerana suami yang bahagia mampu menempuh alau sesukar mana cabaran. Saya agak terkilan memikirkan situasi ini. Suami saya, adakah awak tidak bahagia mengurus keluarga sendiri. Adakah awak tidak bahagia dapat melihat anak-anak depan mata setiap pagi. Suamiku. 

Saya terus muhasabah. Jika awak tidak bahagia, saya tidak dapat bantu apa-apa. Awak boleh pergi dan kejarlah bahagia itu.

Satu pesanan sayang saya, pepatah Melayu ada menyebut "yang dikejar tidak dapat, yang digendong keciciran'

 Hari ini aku sedikit punya mood untuk pergi ke kantin. Macam biasa, jika sudah jejak di kantin macam-macam hidangan tergoda, berat badan sukar dikawal. Sebaiknya kaki jangan lalu ke kantin jika mahu sihat sentiasa.

 Sengajaku baring di sisi suami yang masih ralat menekun telefon. Tidak lama kemudian, suamiku membuat panggilan video bercakap dengan mak ayah. Sepanjang perbualannya, aku sedikit terkejut ketika dia mengatakan mahu sponsor RM500 untuk membeli mesin bot. Aku iyakan niatnya. Itulah pelaburannya untuk membuat kebun, kerana mesin itu akan digunakan untuk membuat kebunnya sendiri.

Namun bukan itu yang buat aku tidak senang hati. Pada sebelah petangnya, aku berjalan di pasar bersamanya membeli barangan rumah dan makanan berbuka. Sepanjang beli, semua duit poketku.

Setelah selesai membeli, kami mengisi minyak kereta. Suamiku termanggu, seperti menunggu aku bayarkan pula minyak kereta. Aku buat isyarat tangan tidak. Dia keluar kereta dan mengisi minyak dengan poketnya.

Sepanjang perjalanan ke rumah, fikiranku semakin terganggu. Mengapa suamiku berubah 360 darjah. Ketika bercakap dengan ibunya, laju bibirnya mahu keluar duit 500 beli enjin. Sebaliknya ketika denganku, semua benda minta aku bayarkan. Aku sangat terkilan. Namun aku cuba menahan air mata. 

Ya Allah, kau murahkanlah rezeki suamiku. Bebaskanlah dia dari segala hutang agar tenang hatinya. Murahkanlah rezeki suamiku. Mudahkanlah segala urusannya. 

Hari pernikahan Rasulullah dengan saidatina Safiyya, Saidatina Aisyah memakai selimut untuk hadir ke majlis tersebut. Saidatina Aisyah mengakui kecantikan Saidatina Safiyya. Rasulullah mengenali Aisyah melalui mata milik Aisyah itu. Setelah menikah, Rasulullah meminta izin Saidatina Safiyya untuk keluar. Rasulullah segera mengejar Saidatina Aisyah dan menghantar Saidatina Aisyah sehingga ke rumah.

Membaca kisah ini, aku mengakui kesakitan yang dirasai Saidatina Aisyah. Namun hebatnya ummahatul mukminin itu, beliau tidak memarahi Rasulullah ketika mahu menghantarnya ke rumah. Ya Allah, Kau rahmatilah Saidatina Aisyah, susuk contoh sepanjang zaman.

Tuhan, jangan bebankan kami dengan bebanan yang berat, seperti yang telah Kau berikan kepada umat yang terdahulu dari kami.. 
Tuhan jangan pikulkan kami yang tidak kami terdaya, maafkan salah kesilapan, ampunkanlah dosa-dosa, rahmatilah kami..

 Jika kita tidak menahan lelahnya bekerja

nescaya kita akan tahu peritnya tiada gaji

hiduplah dan bekerjalah dan solatlah

sesukar manapun hidup tetaplah solat

orang yang solat orang yang akan menuju kejayaan.