Angin bayu meniup lembut ubun-ubun rambut baba Sofi. Matahari kelihatan berat meninggalkan benua, menyebabkan suasana menjadi senja, sesenja menungan baba Sofi. Hatinya masih mahu diam di situ, biar dia tenggelam bersama matahari, membawa rindu durjanya. Sukar sekali untuk dia menepis rasa yang kian mencicip itu. Semakin dikenang semakin ngilu hatinya, bagai dihiris-hiris pisau wali.
"Allahuakhbar, allahuakhbar!" kedengaran azan maghrib membelah sepi. Orang ramai berpusu-pusu menuju ke masjid. Begitu juga baba Sofi. Air paip dia buka, apabila air sampai di muka, dia berdoa semoga Allah membersihkan wajahnya sebagaimana wajah para aulia' dan tidak mengkelamkan wajahnya sebagaimana wajah kafir musyrik. Apabila dia meratakan air di tangan, dia berdoa lagi 'ya Allah, Engkau berikanlah kitab amalku daripada tangan kanan, janganlah Kau berikan kitab amalku dari tangan kiri dan belakang'. Begitulah seterusnya, setiap basuhan wuduknya ada iringan doa yang berlagu dalam hati.
Selesai menunaikan solat, jiwanya sedikit tenang. Dia tadahkan tangan, bermunajat sepenuh hati semoga orang-orang yang dirinduinya sentiasa berada di bawah naungan rahmat Allah, dan mudah-mudahan mereka akan bersama-sama dimasukkan ke dalam naungan arasy Allah pada hari kiamat kelak. Amin.
Apabila baba Sofi berjalan keluar dari masjid, kelihatan orang ramai berlari lintang pukang. Baba Sofi memandang jauh ke arah yang menyebabkan mereka lari, hairan, nalurinya membisikkan bahawa ada sesuatu yang kurang enak. Rasa itu memanggilnya untuk menyelinap ke belakang pokok kelapa, dan intai perihal apa yang sedang bergelora. Retina matanya dibesarkecilkan untuk teropong sejelas mungkin suasana yang berlaku. Belum pun lama di situ, terasa belakang bahunya disentuh oleh senapang. Tubuhnya jadi keras serta merta. Peluh memercik laju, berderai membasahi baju.
"Jangan bergerak, ikut kami". Dia dibawa menaiki sebuah trak askar. Cingagah dia sendirian, mencari sebab kenapa dia ditahan. Hendak dikatakan dia mencuri barang dagangan orang, dia tidak berbuat. Hendak dikatakan barang-barang yang dibawanya beracun, tidak pula, sebab semua rempah ratus yang dia bawa adalah hasil tangan keluarganya sendiri sejak turun temurun, mustahil ada racun. Kalau dia melawan, takut pula nyawa dia yang melayang. Kebingunggannya bertambah apabila melihat tahanan-tahanan yang lain tidak melawan, seolah-olah merelakan sahaja.
"Kenapa kita dibawa ke rumah askar?"
"Sungguh kamu tidak tahu?" Sofi hanya menggeleng, seperti anak kecil pinta penjelasan. Masakan dia arif berkenaan daerah ini walhal dia baru sahaja tiba bersama barang dagangannya.
"Sekarang sedang berlaku perang saudara antara Panglima Lon Nol dengan Raja Sihanouk. Lon Nol ingin merebut tahkta Raja Sihanouk dengan bantuan tentera Amerika. Raja Sihanouk kekurangan tenaga tentera untuk mempertahankan kuasanya. Oleh itu, orang lelaki di setiap kampung dipungut untuk menjalani latihan pendek ketenteraaan sebelum bertembung dengan tentera Lon Nol". Terang seorang tahanan kepada Sofi seolah-olah lega kerana dirinya terpilih untuk menjalani latihan itu.
Tahanan-tahanan yang lain merelakan diri mereka ditahan kerana mereka sudah tidak tahan mendengar berita orang kampungnya dibunuh secara gerila seorang demi seorang dari hari ke hari. Fikirnya, suatu masa nanti pasti akan tiba giliran mereka pula. Daripada mereka mati dibunuh dengan tragis, ada baiknya juga mereka mati sebagai pejuang tanah air.

0 comments:
Post a Comment