RSS
Kepala yang tunduk sedikit itu bagai mahu melompat hati keluar dari rangka. Sedikit-sedikit mataku ingin mencuri pandang wajah rindu, mataku ingin melihat wajah berkat itu, wajah yang selalu muncul dalam mimpiku. Wajah yang kini susuk tubuhnya berdiri tegak di hadapanku.

Lima jemarinya diletakkan lembut di atas ubun kepalaku. Dengan lafaz,

"Saya ijazahkan kepada kamu pengubatan Islam kerana Allah"

Aku kelu sesaat untuk membalas akad. Fikiranku hanya mahu memandang wajahnya, namun demi hormat, aku larikan pandangan ke sepatu hitam, sepatu yang aku cari satu dewan.

Teringat detik-detik betapa sukarnya yang aku tempuh sebelum pentas itu aku panjat.

..........

"Kak Faridah, saya balik dulu ya. Assalamualaikum" kataku setelah menyarung jaket ke badan. Enjin motor aku panaskan sebelum berjalan.

Tiba-tiba kedengaran lagu nasyid 'tinggallah kenangan' nyanyian hafiz hamidun berkumandang. Skrin telefon memaparkan nama "pa sayang". Aku tersenyum.

'Mesti pa nak bagitahu yang pa dah tunggu kat simpang kampung Parit Bunga. Baru semalam aku mengadu aku takut lalu jalan tu malam-malam. Banyak kubur, takde lampu dan seram.' Bisikku dalam hati.

"Hello pa Assalamualaikum."

"Waalaikum salam. Kak ngah, pa ada kat simpang Parit Bunga dah ni, kak ngah dah keluar kerja ke. Jom, pa tunggu kat sini, lepas tu kita pergi hospital terus. Mak sakit separuh badan"

...........

Jam dinding menunjukkan pukul 4 pagi. Sesekali aku jenguk tengok keadaan ibu di bilik kecemasan. Masih sama seperti enam jam yang lalu. Masih ada air di biara mata ibu, masih mengalir dek menahan sakit.

Aku cuba memahami keadaan doktor, terlalu sibuk dengan kes emergency yang lain. Ibu dibaringkan saja di atas katil setelah dibius dengan ubat tahan sakit.

"Waris Asiah binti Ali"

"Ya saya"

"Ibu kamu ni perlu ditahan 2-3 hari di wad. Sila isi borang ini ya"

"Kenapa dengan ibu saya doktor. Dia sakit apa?"

"Owh, ibu kamu disyaki sakit jantung. Kami dah beri ubat tahan sakit, esok pagi akan diteruskan dengan rawatan susulan dan x-ray untuk kesan masalah"

...........

"Pa, ada duit tak? Len nak pergi Pineng esok, ada majlis konvokesyen Darussyifa'" ayah diam seribu bahasa. Aku seperti sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Dah terang-teranglah ayah takde duit.

Bukankah baru kelmarin ayah bangkit dari lumpuh separuh badannya? Hampir dua malam mataku tak jadi pejam sebab mengurutkan ayah. Mana mungkin ayah nak ada duit, mengangkat berat saja uratnya keras, apalagi ingin bekerja mengangkat bata yang beratnya berpuluh kilogram.

Terfikir juga hendak meminjam duit tauke, walhal baru seminggu aku kerja. Rabbi yassir wala tuassir, rabbi tammim bilkhair. Ya Allah, aku tahu Engkau memerhati, aku tahu Engkau mendengar, aku tahu Engkau sentiasa ada. Permudahkanlah urusanku, permudahkanlah urusanku.

...........

"Aina, boleh minta tolong tak, hehe. Tolong beli benda tajam boleh. Pisau sembelih saya tertinggal kat rumah."

"Munirah, hehe. Nanti kalau sempat lepas ambik sijil, nak pinjam kasut boleh." Walaupun dah bagitahu, tapi aku mesti ada spare plan b, kut2 tak sempat nak pinjam kasut munirah nanti. Otakku ligat berfikir, berfikir dan berfikir sehingga denyut mula bernadi.

Dari jauh aku perhati kasut putih di kaki seorang insan. Aku harus berani, berkatalah wahai lidah, bertemboklah wahai muka dan berhati wajalah ketika melangkah. Biar malu sebelum naik pentas daripada malu kat atas pentas.

"Minta maaf cik, saya tak ada kasut, tertinggal kat asrama. Saya ni bertolak dari kampung, dari johor. Kalau tak keberatan, boleh saya pinjam kasut mak cik?"

Alhamdulillah senangnya dapat. Setelah kusarung, aduh 2 inci ruang terlopong. Tisu aku sumbat dan sumbat. Dek tak selesa, aku cuba berjalan, berjalan dan berjalan sehingga tiba di tandas.

Seorang gadis itu cantik, sedang keluar dari tandas, aku masuk. Kemudian dia meminta izin untuk ambil beg tangannya di dalam. Aku alukan.

Tiba-tiba, mataku pana pada kasutnya. Bertubuh saiz aku, ada kemungkinan kasut pun saiz aku.

"Er kak, akak pakai kasut saiz apa ya" dia tergelak kecil. Aku ceritakan situasi aku, dan MasyaAllah, dengan besar hati dia pinjamkan kasut tu. Alhamdulillah.

..........

Aku menjatuhkan pandangan pada sepatu hitamku. Lama Tuan Guru menanti ucapan akad dan kabul. Beliau sedikit berdehem, jemarinya di ubunku digerakkan sedikit.

"Saya terima ijazah pengubatan Islam kerana Allah" kataku setelah menyedari penantian kabulku oleh Tuan Guru.

"Alhamdulillah, barakallahu fitri" sahut Tuan Guru sejurus mendengar ucapan kabul dariku.

"Ini hadiah saya untuk Tuan Guru" kataku sambil menyentuh hadiah yang aku letakkan di atas dulang tadi.

"Terima kasih" jawab Tuan Guru. Aku beransur turun meninggalkan Tuan Guru. Insan yang pengen sekali aku tatap wajahnya secara dekat. Namun, peluang itu selalu pergi seperti perginya langkahku meninggalkan pentas.

0 comments:

Post a Comment