RSS
 Seekor semut 🐜 mengeluh
Mengapa dirinya kecil
Banyak perkara dia terlepas
Banyak benda tidak dapat dilakukan 
Keupayaannya terbatas
Namun dia lupa 
Dalam dia mengagumi yang besar
Dia juga dikagumi
Dialah haiwan kecil yang rajin
Patuh kepada ketua
Banyak kejayaan dikecapi
Mengumpul makanan untuk musim kemarau
Satu puak berjaya hidup
Ada sahabat yang ramai
Tidak pernah sendirian
Dialah seharusnya dicemburui.
 Tolaklah satu persatu
Dunia yang hadir minta diganti
Tenanglah hati
Mereka masih belum melepaskan diri
Mengharap kita melepaskan mereka
Dari belenggu.


Kita harus sedar
Manusia hanya mahu
Melepaskan tengkuk masing-masing 
Jangan sekali kita terjebak
Sekali terjebak
Kita pun sukar melepaskan diri
Malah satu per satu
Momen bersama keluarga
Akan hilang
Seiring berjalannya masa.


Kita harus bijak
Mengukur kemampuan 
Menilai kepentingan diri 
Ada yang tidak perlukan kita
Ada pula yang sangat memerlukan kita
Merekalah anak anak dan keluarga.


Apabila disebut pengorbanan 
Pasti ada yang perlu dikorbankan
Antara minat dan tanggungjawab 
Dahulukan tanggungjawab 
Supaya tiada yang tertinggal
Supaya 
Tidak menjadi seperti
Yang dikejar tak dapat
Yang digendong keciciran 
Kejayaan sebenar adalah kesihatan 
Jagalah diri, sayangi masa depan
Santai hidup dan jaga diri
Biar bentuk tegap berdiri
Organ dalam tetap berseri
Langkah kaki ringan diatur
Banyak kerja dilakukan boleh
Tanpa sikit pun merungut
Kurang dosa, pahala terjaga.
Badan sihat, pahala berkekalan.
Hati terasa sunyi
Dalam keramaian tersenyum 
Bila berduaan bersimpuh
Sepi 
Bunyi putaran kipas
Kicauan burung
Dan kereta lalu lalang

Aku termenung di dalam kelas yang kosong.

 Menjadi guru biasa atau guru luar biasa. 
Itu adalah pilihan. 
Kesakitan, kelelahan yang dihadapi,
adalah tanggungjawab sendiri.

Antara ketenangan dan kesesakan
dambakanlah ketenangan
supaya masa lebih terluang untuk diri dan keluarga
untuk ibadah dan iktikaf
Lebih jelas matlamat hidup
bukan sekadar hidup sesaat.

Jika memilih kesesakan
susunlah masamu dengan hemah
pastikan tanggungjaab diutamakan
kemudian nikmatilah setiap kejayaan
dirimu memilih untuk jadi hebat
berkhidmat lebih luas
namun kekallah di jalan yang lurus
agar tidak tergoda dengan persimpangan.

Gaya hidup yang sesak
atau gaya hidup yang bosan
manakah pilihanmu?
Tepuk dada tanyalah selera
sejauh mana kemampuan diri
jangan sesekali buat pilihan
mengikut rentak nafsu
seronok sesaat 
menanggungnya lama.

 Dalam perhubungan perlu ada tolak ansur. Bimbingan dan petunjuk Allah sangat diperlukan. Ketika suami mengatakan hasrat untuk berpindah ke Gerik, saya bersetuju. Namun setlah dikira kira kerugian berpindah itu besar memandangkan homestay di tapah masih perlu diruskan dan perlu pula mencari kediaman baru atau menumpang di rumah mertua.

Dalam menyusun kata pasti ada salah bicara. Lidah tidak bertulang sangat mudah merosakkan suasana harmoni. Saya mengimbau kembali situasi saya diabaikan ketika berjauhan dengan suami, ketika itu saya dimasukkan wad. Suami tiada di sisi. Dengan kandungan mencecah 7 bulan. Walaupun kisah ini sudah berlalu 6 tahun yang lalu, namun kekecewaan itu masih segar dalam sanubari.

Saya tidak bersedia diabaikan suami sekali lagi. Namun suami mahu suasana kerja baharu kerana sudah tidak tahan dengan tekanan kerja di tempat kini.

Soalan saya, adakah suami saya tidak bahagia bersama saya kerana suami yang bahagia mampu menempuh alau sesukar mana cabaran. Saya agak terkilan memikirkan situasi ini. Suami saya, adakah awak tidak bahagia mengurus keluarga sendiri. Adakah awak tidak bahagia dapat melihat anak-anak depan mata setiap pagi. Suamiku. 

Saya terus muhasabah. Jika awak tidak bahagia, saya tidak dapat bantu apa-apa. Awak boleh pergi dan kejarlah bahagia itu.

Satu pesanan sayang saya, pepatah Melayu ada menyebut "yang dikejar tidak dapat, yang digendong keciciran'

 Hari ini aku sedikit punya mood untuk pergi ke kantin. Macam biasa, jika sudah jejak di kantin macam-macam hidangan tergoda, berat badan sukar dikawal. Sebaiknya kaki jangan lalu ke kantin jika mahu sihat sentiasa.

 Sengajaku baring di sisi suami yang masih ralat menekun telefon. Tidak lama kemudian, suamiku membuat panggilan video bercakap dengan mak ayah. Sepanjang perbualannya, aku sedikit terkejut ketika dia mengatakan mahu sponsor RM500 untuk membeli mesin bot. Aku iyakan niatnya. Itulah pelaburannya untuk membuat kebun, kerana mesin itu akan digunakan untuk membuat kebunnya sendiri.

Namun bukan itu yang buat aku tidak senang hati. Pada sebelah petangnya, aku berjalan di pasar bersamanya membeli barangan rumah dan makanan berbuka. Sepanjang beli, semua duit poketku.

Setelah selesai membeli, kami mengisi minyak kereta. Suamiku termanggu, seperti menunggu aku bayarkan pula minyak kereta. Aku buat isyarat tangan tidak. Dia keluar kereta dan mengisi minyak dengan poketnya.

Sepanjang perjalanan ke rumah, fikiranku semakin terganggu. Mengapa suamiku berubah 360 darjah. Ketika bercakap dengan ibunya, laju bibirnya mahu keluar duit 500 beli enjin. Sebaliknya ketika denganku, semua benda minta aku bayarkan. Aku sangat terkilan. Namun aku cuba menahan air mata. 

Ya Allah, kau murahkanlah rezeki suamiku. Bebaskanlah dia dari segala hutang agar tenang hatinya. Murahkanlah rezeki suamiku. Mudahkanlah segala urusannya.