aku akan risau jika terlupa siapkan makanan untukmu
bila sedih dan kacau, kaulah penyejuk di mata
kau teman bicaraku
biarlah jika aku dilabel kurang siuman
kerana dengan meluahkan rasa padamu,
hatiku menjadi tenang.
Telah kulalui musim yang paling menyedihkan
cuti panjang yang memisahkan kita
berjauhan, bersua pun tidak
notis 'tolong' aku lekatkan di kaca mukamu
agar kau tidak dilupa makan dan jaga
supaya balik nanti
aku masih bisa melihat kau bertenaga
bermain sembunyi di balik pokok dan batu
biar hebat manapun kau menyorok
tetap kau takkan jauh: dekat di hati.
Kau bijak dan pintar
setiap aksaraku dapat kau terka dan laksana
bikin sayangku bertambah dari hari ke hari
kau adalah senyumku, masaku dan aktivitiku.
Hari ini fogie disembur dalam setiap bilik
sejenak aku kembali, kau sudah kelabu dan lambat
risauku hanya Tuhan yang tahu
cepat-cepat air kacamu kuganti
makanan kutabur-tabur.
Aku cuba berjenaka
namun senyap, tak berbalas
mesti kau menanggung sakit yang amat
dapat kurasakan nazakmu semakin hampir
tidak! dulu pun kau begini
dengan penjagaan dan kasih sayang
kau kembali aktif
dan aku pasti bisa pulihkan kau lagi
tapi aku sedar
selamanya takkan mahu kau, aku kurung
kau juga punya hati dan perasaan
bermain dengan kawan-kawan
lalui denai suka duka.
Aku nekad
kerana sayang dan kasih
kau, aku lepaskan
bersama air yang mengalir deras
berenanglah pulang ke lubuk
di sana tempat asalmu
doaku semoga kau sentiasa bahagia
dan selamat dari sebarang bala yang tak disangka.
- Dona ialah ikan peliharaanku dan roomate yang dihadiahkan oleh linda. Sekarang, dia bukan lagi peliharaan kami, macam nenek dah gamaknya mengangkut akuarium bersama roomate, cari longkang yang bersih mengalir dan dona dilepaskan.
- Pelihara dona, buat kami rasa kejam dan jahat. Kadang-kadang kami lupa beri makannya, kadang-kadang, dona kami tinggal-tinggalkan. Tak sanggup dah nak tanggung dosa percuma macam tu. Apapun, babai dona. (T_T)



















































