RSS

Abang Amy Bhg 2

“Amy! Tunggu Dalili tu sekejap. Dia tengah pakai kasut tu”, arah Mak Cik Fatimah kepada Abang Amy yang sudah melabuhkan punggung di atas basikal. Abang Amy menarik muka.

Aku tahu Abang Amy tidak sukakan aku sejak aku berpindah ke sini. Pada Abang Amy, aku ialah seorang budak yang menyusahkan. Pergi sekolah perlu digendong, beg sekolah minta diangkat dan macam-macam lagi. Siapa yang suka kalau disuruh itu dan ini bukan?

Tetapi Abang Amy seorang anak yang taat. Belum pernah lagi aku lihat Abang Amy melawan arahan Mak Cik Fatimah.

Apabila tiba di sekolah, Abang Amy akan menghantar aku ke depan pintu kelas barulah dia berangkat ke sekolahnya yang terletak bersebelahan dengan sekolahku.

Sebelum ini, Abang Amy hanya turunkan aku di pintu pagar sekolah, tetapi sejak aku dibuli oleh rakan-rakan, Abang Amy mula khuatir akan keselamatanku.

Pernah suatu ketika, Abang Amy lewat ke sekolah kerana hendak berjumpa dengan guru kelasku. Dia mengadu situasi aku yang selalu dibuli. Ditunjukkan bukti yang terdapat pada tubuhku yang biru, kesan bajuku yang diconteng malah ada juga hujung kainku yang digunting.

Alhamdulillah, selepas itu, aku tidak lagi dibuli. Murid-murid yang terlibat diambil tindakan disiplin dan aku ditukarkan kelas ke kelas yang lebih pandai. Nama sahaja kelas pandai, tetapi kerja sekolahku semua Abang Amy yang buat.

“Amy, cuba tengok kerja sekolah Dalili ni, kamu tahu tak jawapannya apa?”

“Ini kena bina ayat berdasarkan gambar”. Kata Abang Amy setelah membaca arahan soalan dalam bulu latihan aku.

“Inikan gambar seorang perempuan sedang memasak, kamu tulis je macam ni, Mak Cik Fatimah sedang memasak cucur”. Kata Abang Amy dengan nada naik turun sambil ekor matanya nakal memerhatikan Mak Cik Fatimah.

“Hai kamu ni Amy, macam tiada nama lain dah nak letak”, Abang Amy hanya membalas kata-kata Mak Cik Fatimah dengan senyuman. Aku pun turut tersenyum melihat telatah dua beranak ini.

“Hah! Apa lagi, tulis la apa yang Abang sebut tadi”, sergah Abang Amy setelah melihat pensel hanya diam dalam tanganku. Aku senyap, lama memandang buku.

“Dalili tak pandai mengeja…”

“Ya Allah, dah masuk tahun empat pun tak pandai mengeja lagi. Kamu belajar apa kat sekolah?” Abang Amy sudah mula membebel.

“Amy, tolonglah Dalili tu tulis. Nanti kena marah pula dengan cikgu kat sekolah”, begitulah Mak Cik Fatimah, selalu aku ditempatkan di tempat yang betul.

Sehinggalah suatu hari, aku dengar Mak Cik Fatimah bercerita kepada ibu dan ayah mengenai kedunguanku. Mengenai kisah aku yang masih tidak pandai mengeja. 

Ayah tidak bercakap banyak, dia duduk lama termenung di depan pintu. Aku cuba menghampiri ayah, aku lihat mata ayah bergenang air mata. Mungkin ayah sedih sebab aku tidak belajar sungguh-sungguh.

“Ayah, akak minta maaf. akak janji, akak akan jadi murid yang pandai”, aku memberanikan diri duduk di sisi ayah. Ayah hanya senyum sedikit. Itu yang buat aku bimbang. Ayah selalunya ceria, bukan macam ini.

“Ayah kecewa dengan akak?”

“Tidak nak. Ayah hanya terfikir, jika ayah meninggal, ayah tidak punya harta untuk akak. Ayah hanya mampu hantar akak ke sekolah. Jika banyak ilmu yang akak dapat, maka banyaklah harta ayah untuk akak kelak”, kata ayah sambil mengusap lembut kepalaku. Aku lihat kolam mata ayah semakin penuh dengan air mata.

“Akak janji ayah, akak akan jadi anak yang paling banyak dapat harta ayah nanti. Masa tu, akak akan berjaya, akak akan balik semula ke pangkuan ayah dan ibu” tanpa aku sedar, ibu memeluk aku dari belakang. Rupanya, ibu juga sedang mendengar perbualan aku dan ayah.

“Mari akak, kita masuk tidur, dah lewat ni. Esok kamu kena pergi sekolah, ayah dan ibu pun kena bekerja” ibu dan ayah mengiringi aku sehingga ke kamar. 

"Esok, akak tinggal dengan Mak Cik Fatimah lagi ya. Jangan nakal-nakal, kesian Mak Cik Fatimah, nak jaga kamu lagi, nak jaga adik-adik kamu lagi. Ok?" 

"Ok bu.." Mereka menemani aku sehinggalah aku lena.

Aku gembira walaupun berasa agak pelik. Ibu dan ayah tidak selalu melayan aku macam ini. Sehinggalah ibu tutup lampu kamarku, aku dengar sedu ibu semakin menjadi-jadi. Aku cuba pura-pura tidur dengan memasang telinga betul-betul. 

“Bang, betul ke kita nak pulangkan Dalili kepada ibu kandungnya”

“Sabarlah yang. Kita buat istikharah dan solat hajat, Allah lebih tahu mana yang lebih baik. Kita rancang, Allah juga ada perancangan, dan perancangan Allah mestilah yang lebih baik”

Patutlah ibu dan ayah lain macam sikit malam ni. Rupa-rupanya ada cerita lain yang menghimpit perasaan mereka. Tetapi, betul ke semua ini?

‘Aku bukan anak kandung ayah dan ibu? Ayah dan ibu bukan ibu bapa kandungku? Siapa aku yang sebenarnya?’ persoalan itu mula menjadi tanda soal dalam hidupku.

…………………………………………………………………………………………
bersambung...

0 comments:

Post a Comment