“Alhamdulillah,
sampai juga aku ke kampung ini”. Kaki yang berat dek memikul barang dan bagasi,
aku gagahkan juga. Sedikit lagi, hanya beberapa langkah sahaja lagi. “Kuat,
ayuh mara ke depan. Gagah Dalili, sikit lagi, lagi, lagi!!”
Sedang asyik aku memberi semangat kepada
diri sendiri, seorang lelaki dengan pakaian yang compang-camping keluar
daripada celah rumah, antara rumah aku dengan rumah Mak Cik Fatimah. Aku seperti
kenal lelaki itu. Mukanya tampak begitu merah dengan matanya bulat tersembul.
Aku yang berdiri tepat di tengah jalan
seolah-olah tidak kelihatan. Lalu tubuhku dengan kasar dilanggar dia, habis
berterabur barang-barangku jatuh menyimbah bumi. Ah, lututku dan sikuku
berdarah tercium lantai.
“Spoil
betul la mamat ni. Tak
tahu halal haram ea, main langgar je kan. Eee, anak siapa la ni?” Hah, meletup
juga bom daripada mulut aku. Sekali lagi aku toleh ke arah lelaki
compang-camping itu.
Dari jauh aku boleh bayangkan betapa
hati lelaki itu sedang api, boleh aku bayangkan betapa banyak asap yang keluar
daripada telinganya. Kalaulah dipecahkan sebiji telur di atas kepalanya, konfirm telur itu masak punyalah.
Kalau masak sekalipun, wek! Tak lalu
aku nak telan. Rambut yang entah berapa bulan macam tak bersyampu tu. Huh,
mintalah disimpangkan 44 malaikat. Pandanganku dialihkan pula ke arah
barang-barang yang berselerak di kaki. Satu persatu aku kutip dan sangkut di
bahu dan leher, dua tangan lagi sudah penuh dengan bag dan bagasi.
“ibuuu, ooo ibu… akak dah balik ni…” Senyap.
“Aayaahh, ooo ayah… akak dah balik ni…”
Senyap lagi.
Isyyh, mana pergi orang rumah aku ni. Selipar
tiada, kereta pun tiada. Alahai, tak menjadi surprise la pula aku balik mengejut macam ni. Hmm…
Tiba-tiba terdengar suara anak kecil
menangis teresak-esak. Meremang bulu roma aku, badan aku mula la nak sejuk
seram ni. Esakan itu semakin kuat, aku cuba mencari di mana punca suara itu.
Tertunduk-tunduk aku berjalan,
lagaknya seperti detektif Conan sedang menyiasat kes yang berat. Akhirnya mataku
terpaku pada rumah Mak Cik Fatimah. Ya, aku yakin, suara esakan itu datangnya dari
rumah Mak Cik Fatimah.
“Allah, Mak Cik, kenapa ni?” Terkejut
beruk aku tengok keadaan rumah Mak Cik Fatimah. Kelihatan kipas hancur dihempap
di tengah-tengah rumah. Cawan, pinggan dan bekas rokok bersepah-sepah atas
lantai.
Aku terus berlari mendapatkan Mak Cik
Fatimah. Tubuhnya yang lemah terus aku rangkul. Mak Cik Fatimah seperti ingin
menunjukkan sesuatu kepadaku. Tangannya diangkat-tunjuk ke arah sebuah bilik
kecil. Perlahan-lahan tubuh Mak Cik Fatimah aku lepaskan.
Aku selak langsir bilik kecil itu. “MasyaAllah”,
anak kecil terbaring lesu dengan lumuran darah. Ya Allah, anak itu masih
terlalu kecil. Teresak-esak dia menangis dalam lemah. Anak itu aku dukung
dengan berhati-hati.
“Mak Cik, apa yang berlaku?” soalan
itu seperti tiada jawapan. Biarlah, mungkin Mak Cik Fatimah masih terlalu lesu.
Anak kecil dalam lingkungan dua tahun itu, aku bawa ke beranda belakang rumah.
Perlahan-lahan air aku lalukan atas
tubuh kecil itu. Melihat tubuh itu dipenuhi bengkak dan biru, aku jadi sebak. Anak
ini tidak berdosa. Sesekali anak kecil itu merengek disentuh tempat yang sakit.
Aku gantikan pampers dan bajunya. Kini
giliran Mak Cik Fatimah pula, aku bawa Mak Cik Fatimah ke bilik belakang. Air suam
aku sapu di muka dan badannya. Sementara membiarkan mereka berehat, aku kemas
sedikit demi sedikit rumah yang berselerak itu.
Semua selok-belok rumah Mak Cik
Fatimah telah aku hafal sedari kecil. Rumah inilah tempat aku menumpang kasih
tatkala ibu dan ayah sibuk mencari duit. Di rumah inilah aku membesar seperti
sebuah keluarga tatkala keluargaku sibuk mengejar dunia.
Mak Cik Fatimah seperti ibu dan ayah
keduaku, walaupun setiap bulan dia dibayar upah, tetapi Mak Cik Fatimah
mengasuh aku bagai menatang minyak yang penuh. Sehingga Abang Amy pun cemburu
dengan layanan Mak Cik Fatimah kepadaku.
“Abang Amy?” Baru aku sedar, lelaki
yang merempuh aku di tengah jalan tadi sebiji mukanya seperti Abang Amy. Aku mengamati
setiap inci keadaan rumah Mak Cik Fatimah. “Mustahil, tak mungkin Abang Amy
yang lakukan semua ini”.
.................................................................................................................................
bersambung...

0 comments:
Post a Comment