Jika aku mahu ke langit, pasti pokok ini aku panjat. Tetapi aku mahu ke puncak, perlu menempuh jalan berhutan. Semak-semak yang aku lihat, semak lagi fikiranku tatkala itu. Jalannya semua dilindung lalang yang tajam. Tiada sebarang jalan, semuanya rata dan sama. Semuanya lalang. Semak dan ngeri.
Angin bertiup sepoi mengeringkan peluhku. Hadirnya seperti membawa berita, menyatakan bahawa itu arah utara. Untuk ke selatan, aku harus pilih jalan setentang. Seman-samun di hujung sana tiba-tiba menari deras. Aneh. Semakin lama semakin hampir. Jantungku terasa berlubang. "Semak itu hanya menari dan melambai, dia sedang menyambut kedatanganku," cubaanku berfikir dalam berzikir. Berserah dan menyerah.
Kepalaku ligat, wajah-wajah ibu, wajah-wajah ayah, wajah-wajah along, adik dan lainnya. Aku nekad terus memangkah hutan. Aku harus ke puncak. Ada yang menanti kepulanganku. Waktu kian gelap, gelap lagilah takutku nanti. Cepat!
......................
Kedengaran, nafasnya kuat berhembus. Kata ayah, jika bunyinya seperti ini, itu tandanya dua, ia sedang takut atau sedang lapar mencari mangsa. Jika ia sedang takut, akan kuredah saja, jika ia sedang lapar, ya Allah, Engkau kenyangkanlah ia. Dan aku terus memangkah hutan ke arah yang sedikit lari, biarlah supaya tiada aku mengacau akan ia.
Dalam berjalan tiba-tiba bumi jadi bergegar. Bumi bergegar atau aku yang pening, berusaha aku pastikan. Namun tiada juga jawapan kudapat. Tiba-tiba, sepasang kaki manusia besar mendarat di depanku. Ia berhenti, bumi pun sudah tidak bergegar.
Sempat aku memasukkan diri ke dalam semak dan mengintai makhluk apakah itu. Ia menghidu mencari sesuatu. Ops, betul! Ia mencari bauku. Segera pesanan along muncul, "jika kau lihat makhluk besar, jangan kau tarik nafas. Ia akan bisa mengesanmu. Kawanku sudah ramai yang hilang dek dikesan makhluk itu."
Lama juga aku begitu, jika lama lagi aku bisa mati ungu tak bernafas. Ya Allah, dia juga makhlukMu, bawalah dia pergi. Bisikku merayu. Air mula menitik di biara mataku. Tidak lama seminit itu, bumi bergegar kembali, makhluk itu berlalu. Alhamdulillah. Sepantas inikah Engkau mendengar permintaanku. Pantas aku bersujud terus, lama mengalirkan syukur.
....................................
Maka itu jangan pernah merasa sunyi. Berbicaralah kepada Tuhanmu biarpun di waktu sunyi, di waktu seram ataupun di waktu girang. Dia akan sentiasa mendengar sejauh mana engkau percaya. Yakinlah, Dia itu satu-satunya Penolong yang perlu kita bergantung harap.
Anak-anak di hadapanku, aku amati satu per satu. Semuanya tekun mendengar cerita. Cukuplah untuk hari ini. Malam sudah larut, pejamkanlah mata. Tubuhmu memerlukan rehat.

0 comments:
Post a Comment