RSS

Cemas

Aku menulis di meja, dia  di meja sebelahku menarik perhatian. Aku terus menulis dengan menjadikan dia sebagai analogi. Dia keras membeku. Apabila aku menghampiri dia, aku lihat kata-kata yang dia ukir di atas meja, aku ambil dan gubah. Kata-katanya terlalu kuasa, sehingga dia juga aku bawa di sisi tempat dudukku.

Sedang asyik menulis, dia tumbang di atas ribaku. Di kepalanya aku lihat satu jalur panjang, yang akan memercikkan darah bila-bila masa. Aku hanya terpaku pada hidung mancung dan kulit sawonya, dia masih begitu, tidak menyedarkan diri. 

Albert, seorang pelajar British menghampiriku, meminta aku membetulkan tulisannya. Tulisan itu aku tegur. Dia melukis gambar di atas kertas itu, tangannya cukup mudah melakarkannya. Aku mohon, ajari aku. Dia pun mengajar. Kemudian aku senyum, kataku, aku mahu melukis gambar dia. Dia pun mengajar, aku sudah teruja dengan kemahiran baruku.

Kepalanya asyik tersenguk di hadapan kami, Albert segera menegakkan kepala itu, diam. Darah mula mengalir laju dari luka di kepalanya. Segera, hampir aku cemas disimbah peluh. Dua tiga tisu aku ambil dan segera menyerap darah di kepalanya. Albert kebinggungan, aku tak tahu nak hurai, aku juga tak tahu mengapa. 

Albert memandangku, kaca mataku cuba mengatakan, bukan aku yang lakukan itu padanya, aku temui dia dalam keadaan yang begitu. Darah mengalir lagi, tisu ku ambil dan serap lagi. Kali ini, aku tekan tisu itu dalam-dalam, supaya darah di celahan rambut juga bisa diserap. Kemudian dia, Albert pikul dan dia membuka mata. Masya-Allah, masih hidup rupanya.

Aku berlari keluar dari bilik darjah. Di belakang bilik itu aku  buang tisu-tisu tadi. Aku lihat, kelas lain sedang asyik belajar, sedang asyik memberi tumpuan tanpa culas. Tiba-tiba aku ditegur dari belakang, oh, Mingo! Kami berbual seketika, dalam perbualan itu aku tersebut nama dia. Mingo kehairanan, mengapa dia masih ada di sini. Adalah cukup bahaya untuk dirinya sendiri.

Pernyataan Mingo dapat kubaca, ada sesuatu yang sedang berlaku. Dia dalam bahaya. Perlukah aku selamatkan atau biar sahaja??

Ke bilik darjah itu aku kembali, Albert masih khusyuk dengan lukisannya. Aku hampiri Albert, di mana dia? Albert membawa aku ke bilik rehat, tempat dia diletakkan. Suasana ketika itu sudah malam. Aku membawa kain untuk di alas kepalanya supaya darah tidak mengotorkan bantal. Dia menyelimutkan penuh tubuhnya. Ke tingkap dia memandang, takut-takut kalau ada bayang-bayang. Lalu langsir dia selak ke tepi habis, supaya senang dia perasan jika ada yang bersembunyi di luar.

Dia gelisah, dia cemas, dia hanya aku perhatikan tanpa menunjukkan gelora cemasku. Jika aku cemas, bagaimana dia hendak aku bantu. Kelakuannya membenarkan segala kata-kata Mingo siang tadi. Ada sesuatu yang mengekori dia! Atau dia sahaja yang rasa begitu.

Kringgg!!! Masya-Allah, sedarlah aku bahawa lampu bulan sudah ditutup, lampu matahari sedang dibuka. Aku cuba mengingati semula, siapa dia? Tapi semuanya kelabu..

0 comments:

Post a Comment